Menurut
Kamus Dewan (2007), estetik bermaksud bukan keindahan atau penghargaan terhadap
keindahan (terutamanya dalam bidang seni), manakala estetika pula bermaksud
cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa
dan lain-lain. Estetik menurut Agus
Sachari (2002: 2), adalah suatu ilmu filsafat yang telah menempatkannya pada
suatu titik antara realiti dan abstrak, serta antara keindahan dan makna.
Perkataan estetik dalam bahasa Yunani ialah ‘aisthesi’ yang membawa maksud hal-hal yang
dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’.
Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah Jerman bernama Alexander
Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang telah memperkenalkan perkataan
‘aisthetika’. Namun demikian, Cottfried
Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai estetik dan memberikan
penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu. Agus Sachari (2002:
3) menyatakan bahawa terdapat beberapa pengertian estetik yang lain, iaitu:
· Estetik adalah segala sesuatu dan kajian
terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan seni (Kattsoff, Element of Philosophy, 1953).
· Estetik merupakan suatu telaah yang
berkaitan dengan penciptaan, apresiasi dan kritik terhadap karya seni dalam
konteks keberkaitan seni dengan kegiatan manusia dan peranan seni dalam
perubahan dunia (Van Mater Ames, Colliers
Encyclopedia, vol.1).
· Estetik merupakan kajian filsafat
keindahan dan juga keburukan (Jerome Djelantik, Estetika Suatu Pengantar, 1999).
· Estetik adalah segala hal yang
berhubungan dengan sifat dasar nilai-nilai non-moral
suatu karya seni (William Haverson, dalam Estetika
Terapan, 1989).
· Estetik merupakan cabang filsafat yang
berkaitan dengan proses penciptaan karya (John Hosper, dalam Estetika Terapan, 1989).
· Estetik adalah filsafat yang membahas
esensi dari segala kehidupan estetik dan artistik yang sejalan dengan zaman
(Agus Sachari, Estetika Terapan,
1989).
· Estetik mempersoalkan hakikat keindahan
alam dalam karya seni, sedangkan filsafat seni mempersoalkan hanya karya seni
atau benda seni atau artifak yang disebut seni (Jakob, Filsafat Seni, 2000).
Pandangan-pandangan
mengenai estetik di atas, setiap waktu mengalami pergeseran, sejalan dengan
pergeseran konsep estetik setiap zaman. Pandangan bahawa estetik hanya mengkaji
segala sesuatu yang indah (cantik dan gaya seni), telah lama berubah kerana terdapatnya
kecenderungan karya-karya seni moden yang tidak lagi menawarkan kecantikan seperti
zaman Klasik, tetapi lebih kepada makna dan aksi mental.
Konsep Keindahan Melayu Klasik
Pengertian
istilah ‘keindahan’ tidak sederhana lagi ketika dikaitkan dengan pemikiran
seni. Persoalannya yang mengundang pemikiran adalah membezakan keindahan
sebagai rasa (sense) dan keindahan
sebagai fenomena (kecantikan, keserasian) yang menimbulkan rasa ini. Di dunia
seni, selok-belok keindahan dikenali sebagai persoalan ‘estetik’. Istilah
‘estetik’ ini berasal dari istilah dalam bahasa Yunani kuno, iaitu ‘aesthesis’, yang pengertiannya adalah
‘persepsi rasa’ (sense perception).
Dalam kebudayaan Yunani, persepsi rasa ini merupakan sebahagian dari dunia filsafat
dan boleh diertikan sebagai ‘fikiran yang muncul dari rasa’.
Pada
dasarnya, sastera klasik merupakan karya sastera budaya dan etnik (daerah).
Bangsa-bangsa di kawasan Asia Tenggara sangatlah beruntung kerana memiliki khazanah
sastera klasik yang amat beragam dan kaya. Wilayah-wilayah budaya dan etnik itu
masing-masing memiliki sastera klasik, yang semuanya memiliki sifat-sifat yang
khas. Karya sastera ini timbul dan berkembang pada zaman yang belum mengenal
istilah demokrasi, HAM (Hak Asasi Manusia), industrialisasi, globalisasi, dan
anasir-anasir moden lainnya.
Sastera
klasik sebahagian besarnya berakar dari sikap hidup tradisional yang feudal.
Adalah wajar apabila kemudiannya muncul pertanyaan; nilai apa lagi yang masih
dianggap relevan dan bermanfaat dari penelitian sastera klasik dalam konteks
kehidupan yang serba moden seperti sekarang. Dalam karya-karya klasik memang
terkandung pemikiran-pemikiran yang dekaden, penuh tahyul, dan menidurkan. Hal
ini demikian sukar untuk diterjemahkan. Cerita-cerita masa lampau mengandungi
banyak unsur yang tidak relevan lagi dengan nafas modernisme dan semangat
demokrasi. Karya dan kehidupan klasik (tradisional) sukar dipisahkan dari unsur
feudalisme dan mistisisme. Namun demikian, hal lain yang tidak boleh dilupakan
adalah bahawa sastera klasik merupakan catatan hidup dan kehidupan manusia masa
lampau, sebagai sebahagian dari karya-karya kemanusiaan. Hal ini bermakna,
karya-karya sastera klasik tidak mungkin lepas dari nilai-nilai kemanusiaan
yang universal.
Bahawa
masa lampau dan masa kini adalah merupakan sebuah jurang. Antara kedua-duanya
memerlukan sebuah jambatan. Pertemuan antara keduanya sangatlah penting untuk
membangun satu bentuk konvergensi budaya yang berkeperibadian, tanpa harus
kehilangan identiti kebangsaannya.Penggalian terhadap sastera klasik diharapkan
dapat memperoleh nilai pengalaman, perasaan, dan pemikiran esensial
kemasyarakatan. Pemerolehan akan nilai-nilai tersebut sangat bermanfaat untuk
menambah kearifan dan kebijakan hidup, baik di masa sekarang mahupun pada masa
yang akan datang (Alfian et al,
1992).
Penggalian-penggalian
terhadap hal-hal di atas telah banyak dilakukan, baik oleh para filologi mahupun
ahli-ahli dari disiplin ilmu lain (antropologi, sosiologi, dan sebagainya).
Hasilnya, mereka mengakui bahawa karya-karya sastera klasik ternyata sarat dengan
nilai terutamanya estetik. Dalam karya-karya klasik banyak terkandung
pesan-pesan moral, didaktis, dan adat-istiadat (Djamaris, 1990; Fang, 1991; dan
Danandjaja, 1994). Temuan-temuan tersebut tentunya bukan sesuatu yang akhir.
Yang selama ini dilakukan umumnya masih terpisah-pisah, hanya berfokus pada
karya sastera itu sendiri. Jenis sastera Melayu Islam merupakan karya klasik
yang belum mendapat perhatian sebagaimana mestinya. Padahal karya-karya ini lebih
dominan dalam khazanah perkembangan sastra Nusantara.
Konsep Klasik
Istilah
yang sama maksud dengannya ialah tradisional atau lama. Istilah tradisional
digunakan bagi menggantikan istilah lazim yang digunakan sebelum ini (lama dan
klasik). Istilah klasik mempunyai makna dan nilai estetik atau keindahan yang
lebih tinggi dari perspektif dunia. Istilah ini juga mengandungi dan
mengekalkan nilai estetik serta sifat keindahan pada semua keadaan dan zaman
serta melewati zamannya sendiri. Ketinggian nilai bergantung kepada
‘kelamaannya’ dan ciri-cirinya yang diterima dengan utuh oleh semua pandangan
di peringkat antarabangsa.
Istilah
klasik juga mengandungi makna masa yang menerangkan tempoh waktu sesuatu karya
dihasilkan dan lebih tinggi ‘kedudukannya’ berbanding makna tradisional.
Istilah lama tidak membawa makna yang
mengandungi ketahanan atau keutuhan nilai baik dari sudut estetik mahupun nilai
zaman. Istilah ini tidak sesuai bagi menggambarkan karya-karya agung
kesusasteraan Melayu yang kebanyakan hasilnya telah dibuktikan mengandungi nilai-nilai
peradaban yang tinggi.
Konsep Kesusasteraan Melayu Klasik
Kesusasteraan
Melayu Klasik adalah satu bukti dokumen tentang wujudnya kesusasteraan di
wilayah Indonesia dan Malaysia sejak berabad lamanya (Kamarudin Husin dan Siti
Hajar Abdul Aziz, 1998: 4). Tanpa kesusasteraan Melayu klasik, pengetahuan kita
tentang pemikiran dan kehidupan generasi dahulu amat terbatas. Kesusasteraan
Melayu Klasik ini juga menjadi ukuran dalam menilai cara pemikiran masyarakat
Melayu lama. Hal ini demikian adalah disebabkan pemikiran yang dipengaruhi oleh
pendidikan dan lingkungan hidup.
Menurut
kamus Dewan (dalam Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz, 1998: 4),
‘klasik’ bermaksud serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi
standard kepada yang lainnya, mempunyai gaya yang sederhana dan tidak berubah
mengikut masa, mempunyai ciri-ciri yang lazim. Secara ringkas, sastera klasik
ialah bentuk sastera yang masih kekal dan sentiasa subur dalam kalangan
masyarakat Melayu sama ada sebagai sumber pengetahuan, amalan, pengajaran,
sempadan tingkah laku atau sumber asas perundangan dan pengenalan masyarakat
Melayu kepada masyarakat luar dari alam Melayu. Sastera klasik berbeza dengan
istilah sastera lama kerana ‘lama’ mempunyai sifat yang sementara dan lawan
kepada baru. Dengan kata lain, ia mudah dilupakan setelah datangnya bentuk
sastera yang terbaru. Begitu juga dengan sastera tradisional bermaksud sastera
yang bersifat atau mengikut tradisi secara turun temurun.
Istilah
‘klasik’ merangkumi makna ‘lama’, ‘tradisional’ dan ‘klasik’ itu sendiri.
Menurut Holman dalam buku Kesusasteraan
Melayu Tradisional (1993: 7), klasik dimaksudkan sebagai:
‘… belonging to established tradision; used especially to designate the
literature or culture of Greece and Rome or literature which partakes of its
qualities…it may mean literature thah has gained a lasting recognition, or it
may mean literature that exhibits the qualities of classicism. When it used to
describe the attributes of a literary work it usually implies objectivity in
the choice and hadling of the theme, simplicity of the style, clarity,
restraint and formal structure.’
Walaupun
terdapat penentangan terhadap penggunaan label klasik yang digunakan dalam kesusasteraan
Melayu lama atau tradisional namun, huraian makna klasik yang dipetik Holman di
atas telah memberi ruang yang cukup luas untuk merangkumi kesusasteraan Melayu
Tradisional. Bentuk dan cirinya telah menjadi tradisi yang mantap dengan
mempamerkan nilai-nilai klasikisme dalam kelaziman sasteranya. Dari segi
persoalan, ia juga menunjukkan penguasaan tema, kesederhanaan gaya, ketepatan
dan struktur yang formal.
Selain
itu, menurut Muhamad dalam Kesusasteraan
Melayu Tradisional, ukuran yang digunakan ialah pendapat yang merujuk
tempat dan nilai sesuatu nilai itu kepada masyarakat yang melahirkan dan
mewarisinya. Kesusasteraan Melayu ‘klasik’ telah mengalami ledakan perkembangan
pada abad ke-14 hingga ke-16 M dengan kedatangan Islam. Islam telah membawa
tulisan jawi yang merupakan tulisan yang amat penting kepada para penganut
Islam.
Makna Luaran dan Dalaman
Sesebuah
karya lazimnya mempunyai konsep keindahan dari aspek makna luaran dan juga
makna dalaman seperti berikut:
- Makna Luaran
Menurut
V. I. Braginsky (1994), keindahan luaran merupakan keindahan yang dicerap
melalui pancaindera. Justeru, keindahan itulah yang mesti disampaikan kepada
pembaca oleh karya sastera zaman klasik dengan cara-cara tersendiri, iaitu
melalui keindahan luaran sebagai bentuk, isyarat dan petunjuk.
- Makna Dalaman
Menurut
V. I. Braginsky (1994), keindahan dalaman merupakan keindahan yang tersirat,
iaitu tidak dinyatakan dan tidak dapat dirasakan tetapi yang dicerap akal.
Keindahan dalaman itu memberi landasan pada keindahan didaktik.
Kaitan dan Perbezaan antara Makna Luaran dan Makna Dalaman
Dalam
bidang sastera, keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk
luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan
nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata,
asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting, khususnya dalam karya
sastera puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana,
kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan
memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya
Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah
Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang
Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain
yang tidak dapat disebutkan di sini.
Konsep makna luaran dan makna
dalaman telah dipaparkan dengan terperinci oleh para pengikut aliran sufi
Wahdat al-Wujud, terutamanya oleh Abd al-Karim al-Jili yang memandang keindahan
dalaman sebagai keindahan Ilahi dan keindahan luaran sebagai keindahan alam
fizikal. Konsep berkenaan tidak asing pula bagi para pengarang Melayu yang
sering menamakan makna dalaman dengan kata yang elok dan makna luaran sebagai
indah. Makna luaran dan makna dalaman terpapar kepada pembaca melalui teks
karya sastera, iaitu melalui teks yang mengikut hukum estetik dan yang diresapi
oleh keindahan.
Ajaran tentang dua jenis atau lebih
tepat dua aspek makna juga menampung pengertian ‘faedah’ atau ‘manfaat’
sesebuah karya sastera. ‘Faedah’ tersebut lahir daripada lubuk karya sastera
daripada susunannya yang diatur secara khusus, daripada pemakaian imejnya yang
istimewa, serta daripada gaya bahasa yang berlainan daripada gaya bahasa
sehari-hari. Maka, faedah itu ternyata sama sahaja dengan keindahan dalaman atau
keindahan didaktik, manakala mencerap keindahan luaran dengan deria lihat atau
deria dengar manusia hanya dapat menghiburkan duka dan lara.
Keindahan dipandang oleh para
sasterwan Melayu pada Abad Pertengahan sebagai faedah yang paling rendah. Walau
bagaimanapun, makna luaran juga dapat lahir hanya dalam struktur teks yang
teratur. Bukanlah sesuatu kebetulan dalam cerita-cerita panji, sasterawan
Melayu yang menyatakan bahawa hanya dengan bantuan karya sastera mereka,
pembaca dapat melepaskan diri daripada duka yang merundung mereka. Dengan
meluahkan perasaan secara sembarangan, nescaya mereka tidak akan terhibur (V.
I. Braginsky, 1994:8). Untuk membezakan dua jenis makna luaran dan makna
dalaman, Imam Ghazali menulis:
“Ketahui
olehmu bahawa orang yang terkongkong oleh imaginasi dan pancaindera barangkali
menganggap keindahan dan kemanisan ialah tidak lain daripada harmoni rupa dan
kebagusan warna… memang, keindahan yang disangka manusia sebagai sesuatu yang
menarik pandangan dan paling sering manusia melihat kecantikan manusia lain.
Oleh itu, dia mungkin berfikir, mustahil membayangkan keindahan sesuatu yang
tidak dilihat mata, yang tidak terjangkau imaginasi, yang tidak mempunyai rupa
dan warna… ini jelas satu kesesatan. Keindahan tidak terbatas dalam rangka
benda-benda yang dapat dilihat dan tidak pula merupakan sekadar keselarasan
bentuk dan rupa yang penuh harmoni ataupun kesepadanan putih kulit dan merah
pipi. Ketahui olehmu bahawa sesuatu yang tidak dirasakan oleh pancaindera boleh
juga dikira indah dan baik. Ketika orang berbicara tentang akhlak mulia
maksudnya adalah pengetahuan, kecerdikan, budi bahasa, keberanian, iman kukuh,
kemurahan hati dan lain-lain sifat baik. Banyak daripada sifat-sifat tersebut
dihayati bukannya dengan pancaindera, tetapi dengan sinar akal. Meskipun
sesebuah imej maujud atau mujarad imej itu sama dihiasi keindahan dan daya
memikat hati, tetapi imej yang dapat dilihat (maujud) terdedah kepada
penglihatan, manakala imej dalaman (mujarad) dicerap dengan akal. Yang tidak
memilih akal itu tidak sedar akan imej mujarad, tidak senang kerananya, tidak
mencintainya dan tidak pula cenderung kepadanya, sedangkan yang memiliki akal
yang lebih kuat daripada pancaindera lebih mencintai mujarad daripada maujud.
Alangkah besar bezanya antara orang yang kagum kepada ukiran di dinding kerana
keindahan rupa luarannya dan orang yang kagum kepada seorang nabi kerana keindahan
rohaninya”.
Makna Luaran dan Makna Dalaman dalam Karya Kesusasteraan
Golongan
karangan yang termasuk dalam sfera keindahan (luaran) merupakan peringkat
pertama (paling rendah) dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik. Golongan
berkenaan merangkumi karya-karya yang bertujuan menanam harmoni dalam hati
manusia dan dengan demikian mencipta syarat bagi mendidik budi bahasa pembaca.
Karya-karya tersebut merupakan sejenis continuum. Hal ini disebabkan antara
karya-karya itu, terdapat karangan bertulis yang sekali gus wujud dalam bentuk
lisan (kalau dibacakan serta karya-karya teatrikal (untuk dipentaskan sebagai
lakon wayang). Golongan berkenaan menampung hikayat yangmengakar dalam epos
Sanskrit dan purana. Hikayat tersebut sampai ke dunia Melayu menerusi
perantaraan Jawa (Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Sang Boma
dan lain-lain). Cerita-cerita panji yang berasal daripada kesusasteraan Jawa
mesti juga digolong dalam kumpulan karya peringkat pertama.
Sfera faedah (keindahan dalaman)
yang merupakan peringkat kedua tertinggi dalam sistem kesusasteraan Melayu
klasik terdiri daripada dua kumpulan genre pelbagai ‘cermin’ dan pelbagai
‘sejarah’. Menurut tradisi Islam, manusia ialah makhluk berakal sejak
kelahirannya. Tetapi akalnya itu masih dalam potensi sahaja. Akal bagaikan
lilin yang belum diberi rua. Pengetahuan yang meninggalkan bekas-bekasnya pada
‘lilin’ itu boleh membentuk manusia dalam dua cara. Manusia boleh dididik dan
didewasakan sebagai makhluk sosial dengan perasaan dan fikiran halus, iaitu
sebagai makhluk beradab atau sebagai peribadi yang dahagakan pengetahuan
sistematik tentang pelbagai bidang alam semesta seperti ilmu ketuhanan.
Manusia yang beradab itu dididik
oleh karangan yang merupakan cermin didaktik. Dalam kesusasteraan Melayu
klasik, karangan yang merangkumi cermin-cermin itu sendiri merupakan sejenis
buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara (Taj
as-Salatin, Bustan as-Salatin, nasihat-nasihat ringkas buat raja-raja yang
biasanya ditulis dalam bentuk prosa dan kadang-kadang puisi). Di samping itu,
genre cermin juga meliputi hikayat-hikayat berbingkai (Kalilah dan Daminah,
Hikayat Bakhtiar dan Hikayat Bayan Budiman), antologi besar dan kecil yang
bersifat didaktik serta syair-syair yang membincangkan soal etika, kadangkala
dalam bentuk alegori.
Dalam sistem kesusasteraan Melayu
klasik, sfera fungsional yang menduduki peringkat ketiga (yang tertinggi)
bermatlamat untuk menyempurnakan rohani pembaca. Sfera penyempurnan rohani ini
terdiri daripada karya agama dan tasawuf yang sering berhubung dengan konsep
keindahan dalaman atau makna dalaman. Berlainan daripada karangan sfera
keindahan luaran dan sfera faedah, karya-karya itu menunaikan tugasnya secara
tidak langsung. Hanya rahmat Allah yang dilimpah kepada mereka yang dipilih-Nya
dapat membuka hati nurani manusia dan menjadikan hati mampu memandang atau
bermeditasi (memusyahada) haq terala. Dalam pada itu, hati nurani mesti
sentiasa bersedia menerima kurnia itu. Oleh itu, kesusasteraan agama dan
tasawuf mengukuhkan imam sambil menjelaskan kepadanya hukum syariat, usuluddin
dan metafizika Islam, menggambarkan tahap-tahap pengenalan diri, memberi amaran
tentang cara mengatasi bahaya tersebut.
Makna
Luaran dan Dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu
Antara
yang dapat dikesan ialah:
“Maka
ada seorang raja terlalu amat besar kerajaannya, setengah negeri Hindi dalam
tangannya, Raja Kida Hindi namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)
Dalam ayat di atas, kita dapat
lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan mengenai adanya seorang raja
yang mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan setengah daripada negeri
Hindi berada di dalam tangannya. Beliau bernama Raja Kida Hindi. Namun
demikian, secara dalamannya, pengarang ingin menyampaikan kepada pembaca bahawa
Raja Kida Hindi mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan luas. Separuh
daripada negeri Hindi adalah berada di bawah kekuasaan dan taklukannya. Jadi,
jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang
menggambarkan bahawa kekuasaan Raja Kida Hindi adalah kuat dan kerajaan Hindi
diibaratkan berada dalam genggaman tangannya.
Kita dapat melihat kebenaran hakiki
dari aspek sfera fungsional apabila teks ini kita kaji melalui logik cerminan
dan sejarah tamadun sesebuah masyarakat manusia. Melalui teks di atas, secara
fungsionalnya masyarakat memerlukan pemerintah untuk mentadbir dan memerintah
sesebuah kerajaan. Penguasaan seseorang pemerintah lazimnya bergantung kepada
kecerdikan akalnya dan sokongan yang diberikan oleh rakyatnya. Sokongan
daripada rakyat akan menyebabkan seseorang pemerintah itu menjadi semakin kuat.
Lumrah kehidupan dalam sekelompok manusia memerlukan seseorang ketua atau
pemimpin. Begitu juga sebaliknya, pemimpin memerlukan sokongan daripada orang
bawahannya. Hal ini demikian dapat diibaratkan seperti perjalanan sebuah kapal
di lautan yang memerlukan seorang nakhoda untuk mengemudi kapal tersebut supaya
tidak tenggelam dan tersalah haluannya. Sesungguhnya, dalam perkara kecil
sekalipun Islam ada menyuruh kita untuk memilih pemimpin. Rasulullah S.A.W ada
bersabda:
“Apabila
kamu keluar bermusafir tiga orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi
ketua.”
(Hadis
riwayat Abu Daud)
boleh terangkan secara ringkas tak, apa perbezaan antara mkna luaran dengan mkna dalaman..?
ReplyDeletePada pendapat saya, makna luaran adalah makna yang dapat dilihat secara fizikal, manakala makna dalaman pula adalah makna yang memerlukan pentafsiran yang mendalam oleh minda kita. Contohnya karya agung seperti puisi dan pantun, apa-apa yang dibaca oleh kita adalah makna luaran, sebaliknya maksud yang tersirat di sebalik ayat-ayat tersebutlah yang merupakan makna dalaman. Ini pendapat saya sahaja. Jika salah, mohon diperbetulkan.
ReplyDelete