Tokoh


Kajian ke atas tokoh kesusasteraan Melayu tradisional. kajian perlu memberi penekanan kepada latar, sumbangan, dan kepentingan tokoh-tokoh tersebut. Antara tokoh-tokoh penting kesusasteraan Melayu tradisional yang perlu diberi penekanan ialah:


  1. Tun Seri Lanang
  2. Hamzah Fansuri
  3. Bukhari al-Jauhari
  4. Nuruddin al-Raniri
  5. Sheikh Daud al-Fatani
  6. Raja Ali Haji
  7. Syed Muhammad bin Zainal Abidin
  8. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani

(i)     TUN SRI LANANG

Karya

Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17, anak kepada Paduka Temenggung Ahmad. Oleh  sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah Melayu pada tahun 1612.

       Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab 11. Beliau sangat meminati kitab-kitab dan buku-buku pengetahuan. Karangan beliau telah membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini.



(ii)    HAMZAH FANSURI

Karya
Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang, Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel.

   Segala pendapat, ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-pengikut agama Islam. Akibatnya,Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun 1637. Hamzah Fansuri juga terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia.

     Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab.


(iii)    BUKHARI AL- JAUHARI

Karya

Beliau seorang pujangga Melayu. Hidup dalam kurun ke-17. Beliau berasal dari Johor, tetapi menetap di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Pada tahun 1603, beliau mengarang ‘Taj al-Salatin’ yang dikatakan berdasarkan kepada beberapa buah kitab daripada bahasa Arab dan Parsi. Kitab ini mengandungi falsafah kemanusiaan, khusus sebagai panduan kepada raja. Namun begitu, ‘Taj al-Salatin’ sangat terkenal di Alam Melayu, dipelajari oleh bangsawan di Solo dan Jogja serta diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dan Makasar. Kitab ini sangat tinggi nilainya kerana pengaruhnya yang sangat begitu luas.

        Sebagai seorang pengarang, tidak syak lagi bahawa beliau ialah penyumbang kepada genre ketatanegaraan yang membolehkan kita mengetahui peraturan-peraturan yang dipakai pada zaman dahulu untuk memerintah dan tugas serta tanggungjawab semua pihak yang mendiami sesebuah negeri.


(iv)   NURUDDIN AL-RANIRI

Karya

Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.

      Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’ (1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).

    Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.


(v)    SYEIKH DAUD AL-FATANI 

Gambar

Nama sebenar beliau Syeikh Daud ibn Abdullah. Lahir di Krisik, Patani, Selatan Thai pada awal abad ke-18. Beliau pernah belajar selama 30 tahun di Mekah dan 5 tahun di Madinah. Beliau terkenal sebagai ulamak yang banyak mengarang buku-buku agama di samping berdakwah menerusi buku-buku karangannya di seluruh Alam Melayu.

      Di samping itu,beliau mempunyai pengikut dan anak muridnya di seluruh Alam Melayu termasuk raja-raja dan pembesar seperti Sultan Safuddin, Raja Sambas. Antara karangan-karangan beliau yang terkenal ialah ‘Kifyatul Muhtaj’ (Hikayat Mikraj al-Nabi), ‘Al-Dhur al-Thamin’ (membicarakan tentang pengikut Islam), ‘Ghayatul takrib’ (membicarakan hukum faraid), ‘Minhaj al-Abidin’ dan ‘Furu al-Masa’il waUsul al-Masa’il. Berpandukan hasil-hasil karya beliau, kita dapat menggolongkan Syeikh Daud sebagai ulamak dan pengarang sastera kitab yang gigih dan berpengaruh di Alam Melayu.


(vi)   RAJA ALI HAJI

Gambar

Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Datuknya Raja Haji, seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Manakala ayahnya Raja Ahmad ialah pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Beliau pernah mengikut ayahnya menunaikan haji ke Mekah dan menuntut ilmu ke sana. Sekembalinya ke Riau, beliau bertugas sebagai penasihat dan guru kepada Raja Ali, Yamtuan Muda Johor ketika itu. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa dan menulis buku tatabahasa Melayu iaitu ‘Bustan al-Katibin’ (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Usaha beliau mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu menambah buku tatabahasa Melayu. Beliau juga mengarang sebuah kamus yang bernama ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ tetapi karyanya yang paling terkenal ialah ‘Tuhfat al-Nafis’ yang dikarangnya pada tahun 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang menjadi pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.

      Karya yang berbentuk Sastera Sejarah ini amat berbeza dengan karya yang sama denganya. Sungguhpun masih terdapat mitos dan lagenda di dalamnya, tetapi tarikh-tarikh telah diberikan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku, tidak seperti dalam ‘Sejarah Melayu’ dan ‘ Hikayat Raja-raja Pasai’. Karya-karya beliau yang lain ialah ‘Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair  Siti Sianah, Gurindam Dua Belas dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam’. Oleh itu, kita boleh menganggap beliau sebagai seorang pengarang yang prolifik pada zamannya. Beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan tetapi juga sejarah dan bahasa.



(vii)   SYED MUHAMMAD BIN ZAINAL ABIDIN

Karya Kanz al-Ula

Beliau terkenal dengan gelaran Tuk Ku Tuan Besar di Terengganu. Dilahirkn pada tahun 1795. Mendapat pendidikan langsung daripada bapanya dan seorang guru agama bernama Syeikh Abdul Kasir bin Abdul Rahim juga seorang ulamak dan mufti zaman pemerintahan Sultan Baginda Omar di Bulat Bayas. Beliau juga pernah berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin juga ulamak terkenal dan guru kepada Sultan zainal Abidin III. Seterusnya beliau pergi ke Mekah mempelajari ilmu fiqh, usuluddin, tasawuf di samping ilmu bahasa dan ilmu sastera (ilmu balaghah, arud dan qafiah). Hasilnya beliau sangat berminat dengan sastera.

     Antara karya-karya beliau dalam bentuk puisi nazam ialah ‘Kanz al-Ula, Sirat al-Nabawiyah, Jawahir al-Saniyyah, Al-Durrat al-Fakhirat dan Tahliyat al-Wildan. Beliau juga menghasilkan beberapa karya tentang akidah dan fiqh. Beliau merupakan ahli agama dan sastera yang terkenal di Pantai Timur Semenanjung Malaysia suatu ketika dulu.


(viii)  SYEIKH AHMAD BIN MUHAMMAD ZAIN AL-FATANI


Karya ‘Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin’ 

Nama sebenar beliau ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa. Lahir di Patani dalam tahun 1856. Mendapat pendidikan agama di tempat kelahirannya di Mekah dan di Mesir. Beliau bukan sahaja mempelajari ilmu usuluddin, fiqh, tauhid, hadis, tafsir, nahu dan saraf malahan sangat cenderung kepada mata pelajaran sains dan sastera.

        Di samping itu, beliau meminati ilmu perubatan. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya dalam beberapa bidang ilmu. Hasil tulisannya terdapat 10 buah buku dalam bahasa Melayu dan 13 buah buku dalam bahasa Arab. Karangan-karangannya meliputi bidang-bidang usuluddin, fiqh, tasawuf, sejarah, sains, bahasa, sastera dan perubatan. Peluang bertugas di pencetakkan semasa di Mekah dan di Mesir membolehkannya mengarang kitab dan menerbitkannya. Antara karangan beliau yang terkemuka ialah ‘Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin’ yang memuatkan segala bidang ilmu. Oleh itu, beliau dapat dianggap sebagai tokoh pengarang yang serba boleh dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional.




4 comments:

  1. tokoh2x yang disebutkan di atas sememangnya merupakan tokoh yang terkenal dalam dunia karya agung melayu..terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  2. betul tu...peranan dan jasa mereka dlm memartabatkan dunia melayu di mata dunia adalah satu usaha yg hrus kita bnggakn...

    ReplyDelete
  3. terima kasih atas perkongsian yang amat bermanfaat ini....:)

    ReplyDelete
  4. sama2...trima kasih sbb kunjungi blog ni...

    ReplyDelete